Bekas Menteri di Jabatan
Perdana Menteri Tan Sri Abdul Hamid Zainal Abidin (gambar) meninggal
dunia akibat komplikasi jantung di Institut Jantung Negara (IJN) di
Kuala Lumpur, malam tadi.
Allahyarham berusia 70 tahun.
Menurut anak Allahyarham, Junaidi, bapanya meninggal dunia kira-kira 9.50 malam.
Hamid dimasukkan ke IJN sekitar 4 petang selepas mengadu sukar bernafas.
"Jenazah allahyarham
akan dibawa pulang ke rumah di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras dan
dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tun Hussein Onn
pada kira-kira 11 pagi hari ini," katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merakamkan ucapan takziah kepada keluarga allahyarham.
"Salam takziah kepada
keluarga Brig Jeneral Tan Sri Abdul Hamid Zainal Abidin atas pemergian
beliau. Moga roh Allahyarham dicucuri rahmat. Al-Fatihah," kata Najib
dalam catatan di laman Twitternya.
Anak kelahiran Bagan
Datoh, Perak pada 20 Februari, 1944 itu merupakan menteri di Jabatan
Perdana Menteri pada 2001 hingga 2004 selain pernah menjadi pengerusi
Mara dari 2004 hingga 2008.
Sebelum itu, allahyarham memegang jawatan ketua pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dari 1995 hingga 2001.
Allahyarham dilantik
sebagai senator dari 2001 hingga 2004 dan pernah menjadi ahli Parlimen
Parit Buntar susulan Pilihan Raya Umum ke-11.
Allahyarham turut dinobatkan sebagai Tokoh Ma'al Hijrah Kebangsaan 2013.
Sementara itu, Menteri
di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyifatkan
allahyarham sebagai seorang tokoh yang disanjung ramai.
"Kita kehilangan seorang
lagi tokoh. Allahyarham menyumbang dalam banyak perkara yang berkaitan
dengan soal agama," katanya ketika ditemui di IJN. – Bernama,