Monday, June 9, 2014
Bekas ketua hakim juga bimbang pada RUU Johor|
Bekas ketua hakim negara Tun Abdul Hamid Mohamad bimbang cadangan Rang Undang-Undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) yang melibatkan sultan dalam pentadbiran akan menimbulkan pelbagai masalah.
Walaupun belum melihat rang undang-undang itu, namun Abdul Hamid berkata berdasarkan laporan akhbar, ia memberi kuasa pentadbiran kepada sultan termasuk "melantik seorang pengarah yang boleh dipilih sebagai ketua eksekutif” LPHJ.
Dalam tulisannya bertajuk "Raja Berperlembagaan" yang disiarkan dalam blognya kelmarin, Abdul Hamid menganggap peruntukan itu sebagai "merunsingkan" dan menegaskan enggan mengulas lanjut mengenainya secara terperinci.
"Adakah kita menghala ke arah membuang prinsip raja berperlembagaan dan mewujudkan semula raja yang berkuasa mutlak (absolute monarchy) seperti di Brunei atau menghala ke arahanarchy? Kita ada sembilan orang raja. Berapa hala kita akan dibawa?
"Penglibatan raja-raja dalam pentadbiran akan menimbulkan berbagai-bagai masalah. Raja mungkin didakwa di mahkamah. Jika terlalu kerap didakwa kedudukan seseorang raja mungkin akan tercemar.
"Saya khuatir pegawai-pegawai lembaga tersebut hanya akan menjadi pak turut kerana takut dibuang kerja. Mereka tidak akan dapat membuat keputusan-keputusan secara profesional," katanya.
Dalam tulisannya juga, Abdul Hamid berkata dari segi undang-undang, semua pihak perlu berhati-hati supaya ia tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan negeri serta mempertahankan konsep raja berperlembagaan.
"Apa yang saya sebut setakat ini adalah atas anggapan bahawa raja itu memang jujur, tidak ada penyalahgunaan kuasa, penyelewengan, rasuah, kepentingan diri dan sebagainya dan juga tidak ada pihak di belakang raja itu yang menggunakan kedudukan baginda untuk mengaut untung.
"Jika sebaliknya, saya khuatir kontrak di antara rakyat dengan raja yang saya sebut di awal rencana ini akan terburai," katanya.
Kontrak antara raja dan rakyat ialah rakyat bersetuju menerima pemerintahan beraja dengan syarat kuasa raja-raja adalah seperti yang diperuntukkan perlembagaan.
Dan mereka hanya akan bertindak dalam lingkungan bidang kuasa yang diberi kepadanya oleh perlembagaan. Raja juga bersetuju dengan syarat-syarat itu.
Bloglist Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.