Thursday, September 26, 2013

Memecahkan pengundi tegar luar bandar dari BN - Oleh Abd Shukur Harun

 

Masalah yang paling sukar dan hingga kini belum dapat diatasi ialah usaha PAS/Pakatan Rakyat untuk menawan hati pengundi tradisi, khususnya di luar bandar yang masih sangat tegar menyokong Umno/BN.

Usaha ini sudah lama dilakukan, namun keputusan PRU yang lalu menampakkan bahawa pengundi tradisi masih tetap menyokong Umno dengan hujah takut Cina memerintah, takut negara tidak aman, takut rakyat kembali hidup susah seperti zaman baru lepas Perang Jepun dulu, takut Melayu hilang kuasa, takut itu dan takut ini lagi.

Ini adalah aliran pemikiran pengundi tradisi, statik, tidak dinamik, amat sukar berubah, amat terpengaruh dengan janji wang dan pelbagai  bantuan dari parti yang memerintah. Pemberian wang RM500 oleh kerajaan dianggap sangat besar.

Makanya untuk membalas budi, mereka menyokong parti yang memerintah. Kesan pemberian ini menyebabkan Pakatan Rakyat semakin sukar untuk mendapatkan sokongan.

Bagaimanapun, masih tetap ada sejumlah pengundi tradisi ini yang berfikiran dinamik, bersikap bebas dan merdeka dalam erti tidak terpengaruh dengan segala macam pemberian daripada parti yang berkuasa. Mereka bebas untuk mengundi siapa yang difikirnya layak untuk diberikan amanah.

Jumlah golongan ini kecil tetapi memberi makna besar dan inilah menyebabkan undi untuk PAS/Pakatan Rakyat bertambah di kawasan pengundi tradisi seperti di Selangor, Perak, Melaka dan di Johor sendiri.

Dalam situasi di mana pengundi tradisi sangat kuat menyokong parti yang memerintah, maka Pakatan Rakyat, khususnya PAS – kerana PAS paling banyak bertanding di luar bandar - menghadapi cabaran sangat getir untuk mendapat sokongan daripada kawasan luar bandar yang didominasi oleh pengundi Melayu ini.

Contohnya, antara lain, kawasan di Selangor yang dipanggil Anjung Utara – Ulu Selangor, Sabak Bernam, Tanjung Karang dan beberapa lagi, calon Pakatan Rakyat masih belum berjaya menawannya dalam PRU yang lalu. Ini berlaku walaupun PAS menang 15 kerusi yang kebanyakannya kawasan pengundi campuran di mana Pakatan Rakyat memerintah Selangor untuk penggal kedua.

Kesukaran di Selangor ini diakui pemimpin Pakatan Rakyat di negeri itu. Oleh itu mereka mengatur langkah segera  untuk menerobos kawasan Anjung Utara itu selepas menyaksikan keputusan PRU yang lalu di kawasan itu di mana kelihatan Pakatan Negeri Selangor begitu cepat mengatur strategi walaupun PRU ke-14 lama lagi.

Tidaklah wajar diperincikan strategi untuk ‘memutihkan’ kawasan di sebelah utara Selangor itu, tetapi yang jelas Pakatan Rakyat mengatur segera pelbagai rancangan ke arah menawan kawasan Parlimen dan DUN di situ.

Ini adalah usaha segera Pakatan Rakyat di Selangor, tetapi bagaimana pula di negeri lain, seperti di Kedah, umpamanya, di mana kerajaan PAS/Pakatan rakyat di negeri itu ditewaskan dengan teruknya. Bagaimana pula di Kelantan, di mana PAS memerintah 22 tahun di negeri Cik Siti Wan Kebang itu, tiba-tiba tewas 15 kerusi dalam PRU yang lalu di mana keputusan ini sangat mengkhuatirkan. Khabarnya, mujurlah ada pengundi anak perantau Kelantan yang pulang mengundi, kalau tidak entah bagaimana keputusannya.

Keputusan PRU yang lalu di Johor pula menyaksikan permulaan yang baik, di mana dulunya PAS hanya menang dua kerusi DUN, tetapi kini bertambah dua lagi menjadikan empat kerusi DUN yang dimenanginya. Tetapi kemengan itu, antara lain, disebabkan sokongan pengudi Cina sebanyak 47 peratus di dua DUN yang baru dimenangi dalam PRU tersebut. Bagaimanapun DAP mencapai kemenangan gemilang di Johor bersama PKR.

Mesejnya di sini ialah, Johor bukan lagi kubu kebal Umno/BN dan zaman pencerahan boleh berlaku dari sekarang di negeri  selatan tanah air itu jika PAS/Pakatan Rakyat berusaha dari sekarang dengan strategi yang tepat untuk menwan hati budi pengundi tradisi ini.

Di Terengganu, pencapaian PAS di negeri itu dalam PRU yang lalu membina kembali harapan bahawa negeri yang pernah diperintah oleh PAS itu kemungkinan besar akan dapat kembali kepada PAS dalam PRU akan datang kerana sekarang ini hanya selisih majoriti dua kerusi antara BN dan PAS. Di negeri itu, pengundi tradisi Melayu hampir mencapai 90 peratus.

Di Perak, prestasi PAS/Pakatan rakyat juga memberangsangkan. Walaupun negeri utara itu banyak juga kawasan tradisi, tetapi ia mampu mengekalkan kemenangannya di kerusi tersebut di samping kerusi kawasan campuran yang dimenangi oleh DAP dan PKR. Ini menyebabkan majoriti BN hanya lebih tiga kerusi di negeri itu.

Di Pahang dan Negeri Sembilan yang juga banyak kawasan pengundi tradisi, menampakkan harapan bahawa Pakatan boleh menawan kawasan tersebut dalam PRU akan datang, sementara di Perlis yang juga majoritinya adalah kawasan tradisi Melayu berusaha keras menawan hati budi pengundi tradisi ini.

Setakat ini saya belum mendapat gambaran yang sejelas-jelasnya mengenai demografi pengundi di Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, saya tertarik dengan ucapan AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad di Bintulu, Sarawak baru-baru ini bahawa dakwah atau penerangan PAS mestilah ‘memasuki’ rumah pengundi tradisi Melayu untuk menarik sokongan mereka.

Ini,  katanya, disebabkan sifat golongan tradisi Melayu itu sukar untuk mengubah sokongan mereka daripada parti kerajaan kepada pembangkang.  Justeru, kata Dr Dzul,  PAS yang sentiasa berdepan dengan mereka pada setiap pilihan raya sewajarnya memastikan penerangan yang dijalankan dapat memasuki rumah golongan itu.

“Politik kita bermula dengan dakwah dan kita bukan politik saja, tetapi berpolitik dan berdakwah. Iaitu di samping melaksanakan aktiviti dakwah, PAS perlu mengatur strategi politik kepada mereka dan ini perlu dilakukan serentak,” kata Dr Dzul.

Becakap mengenai pengalamannya sebagai ahli Parlimen Kuala Selangor sebelum ini,  beliau berkata, bahawa bagaimana pun perkhidmatan yang diberikan kepada mereka, belum tentu dapat menarik sokongan Melayu tradisi pada pilihan raya berikutnya.

“Ini kerana sebahagian besar pengundi Melayu tradisi mudah dibeli oleh Umno apabila menjelang pilihan raya sehingga mereka takut untuk memberikan sokongan kepada PAS/Pakatan Rakyat. Bahkan, pengundi muda juga ada yang bersikap demikian sedangkan sebelum itu mereka banyak terlibat dengan aktiviti yang dianjurkan oleh PAS/Pakatan Rakyat seperti pertandingan futsal, motocross dan lain-lain,” katanya.

Oleh itu, katanya, pendekatan dakwah dan politik yang dilaksanakan oleh PAS di kawasan tradisi Melayu bukan saja sekadar dapat ‘memasuki’ rumah mereka tetapi juga memenangi hati budi mereka.

Menurutnya, ini jelas berbeza dengan golongan Melayu bandar dan pertengahan yang sedia berbinncang, berdebat, berseminar dan lain-lain dalam usaha PAS/Pakatan Rakyat melakukan pendekatan kepada mereka.

Inilah perihal pengundi tradisi yang sangat perlu ditangani oleh Pakatan Rakyat dengan segala kebijaksanaan, bukan memikirkan hal yang remeh temeh


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.