Monday, December 31, 2012

Pesara tentera bantah perjanjian tanah LTAT - Oleh Zurairi AR

 
 
Sekumpulan 15 pesara tentera berdemonstrasi hari ini bagi membantah rancangan pembelian tanah di Bukit Raja oleh Boustead, unit dana pelaburan kerajaan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT). — Gambar oleh Choo Choo May.
 
KUALA LUMPUR, 31 Dis — Sekumpulan pesara tentera berdemonstrasi di hadapan Menara Boustead hari ini untuk membantah rancangan pembelian tanah di Bukit Raja di tengah-tengah dakwaan penyalahgunaan kuasa terhadap kerajaan persekutuan oleh ahli perniagaan Deepak Jaikishan.
 Sekumpulan 15 veteran yang diketuai oleh Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berhimpun di hadapan pejabat Boustead Holdings Bhd di Jalan Raja Chulan dengan memegang sepanduk berbunyi, “Demi Kroni, Deepak dan Rosmah, LTAT diperalat” dan “(Datuk Seri) Zahid Hamidi gadai masa depan pencarum LTAT”.

Bantahan ini berlaku tatkala Boustead, unit dana pelaburan kerajaan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), membeli kepentingan 80 peratus dalam Astacanggih Sdn Bhd dengan harga RM30 juta serta sekeping tanah berharga RM130 juta dari Awan Megah.

“Kita mahu hari ini Boustead dan kakitangan mereka untuk bekerjasama dan menjelaskan perkara itu kepada kami sebagai penyumbang. Ini adalah wang awam,” kata Mohd Nazari Mokhtar, presiden kumpulan kepentingan bekas tentera Seketariat Kebajikan Rangkaian Bekas Anggota Tentera Malaysia (KERABAT).

“Mereka jeneral yang duduk dalam lembaga pengarah Boustead mesti bersuara dan tidak terus diam,” kata Datuk Abd Hadi Khatab, penasihat bagi kumpulan lain Pertubuhan Prihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (PAHLAWAN).

Beliau merujuk kepada lapan pesara pegawai tertinggi tentera yang menjadi ahli lembaga pengarah Boustead bagi pihak LTAT.

LTAT Kementerian Pertahanan, melalui cabang pelaburan Boustead Khamis lalu mengumumkan rancangan untuk memperoleh tanah seluas 200 ekar dari syarikat Ketua Wanita Umno Selangor, Senator Datuk Raja Ropiaah Abdullah Awan Megah Sdn Bhd dengan RM130 juta.

Selain pembelian tanah, dana itu juga akan membeli syarikat Deepak, Astacanggih Sdn Bhd dengan RM30 juta, yang sebelum ini disifatkan Rafizi sebagai "rasuah secara terang-terangan" dan bertujuan untuk menutup mulut peniaga itu daripada mengeluarkan lebih banyak kenyataan kontroversi menentang kerajaan.

Kumpulan pesara cuba memasuki pejabat Boustead di tingkat 28 untuk melihat saham dan dokumen perjanjian penjualan tanah yang boleh dilihat untuk tontonan umum bermula hari ini, akan tetapi dihentikan oleh kakitangan keselamatan.

Kakitangan Boustead mendakwa pemegang saham hanya syarikat dibenarkan untuk melihat dokumen, tetapi tidak pencarum LTAT.

Sebagai respons kepada itu, Rafizi mengisytiharkan dia akan membeli unit saham Boustead dan kembali dalam beberapa hari dengan kumpulan pesara tentera yang lebih besar.

Kakitangan Boustead yang berada di situ enggan mengulas mengenai kejadian itu.


MENYUSUL LAGI


Malaysia Insider

Bersama Pakatan Rakyat menjamin masa depan - Adun Batu Tiga Rodziah Ismail Written by Rodziah Ismail




Tahun 2012 yang akan melabuhkan tirainya tidak lama lagi telah mencatatkan beberapa noktah penting sepanjang hampir lima tahun era reformasi Kerajaan Negeri Selangor, Darul Ehsan.

Ianya berlaku atas kehendak rakyat yang inginkan reformasi itu dizahirkan segera bagi menyekat berlanjutannya pereputan budaya dan nilai serta keperluan kepada pentadbiran negeri Selangor yang tulus dan telus.

Tindakan bijak rakyat negeri Selangor memilih barisan pimpinan yang ada sekarang ini perlu diulangi dalam pilihanraya ke-13 yang semakin hampir, agar usaha reformasi politik, ekonomi dan sosial dapat diteruskan di negeri Selangor khususnya dan di Malaysia amnya.

Rakyat perlu lebih waja dan bersungguh bagi memastikan pelaksanaan agenda perubahan yang jitu diserahkan pada saf Pakatan Rakyat yang tersedia dan bersedia untuk memimpin rakyat Malaysia.

Diperakui bahawa masih terlalu banyak lagi yang belum disempurnakan.

Tahun 2013 tentunya akan menyaksikan usaha-usaha mensejahtera rakyat oleh Kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat diperhebat.

Sentiasa bersama Pakatan Rakyat, menjamin kehidupan dan masa depan rakyat.


Selamat menyambut Tahun Baru 2013.

Rodziah Ismail is the PKR Assemblywoman for Batu Tiga & a state executive councillor holding the Welfare, Women's Affairs, Science, Technology and Innovation portfolio


Malaysia Chronicle

Deepak, Musa senjata Dr M dalam 'perang gerila' terhadap Najib & Rosmah? Written by Nawawi Mohamad, Stan Lee, Malaysia Chronicle

 
Apabila anda mahu memusnahkan seseorang yang mempunyai pengaruh dan kuasa, anda perlu merancang dan melaksanakannya dengan tepat dan dengan gaya tersendiri supaya usaha itu memberi kesan maksimum dan berkekalan. 

Jika tidak, ia boleh mengena kepada diri sendiri dan berkemungkinan akan berakhir dengan kecederaan yang serius ataupun kematian! Itu adalah perjalanan hidup dalam senario politik Malaysia dimana musuh jangan dicari, dendam pasti dibalas .

Walaupun rancangan yang teliti telah dibuat dan mendapat sokongan namun ia tidak menjamin kejayaan setiap masa. Sebagai contoh, pemimpin Umno Tun Musa Hitam, TengkuRazaleigh dan Anwar Ibrahim semuanya telah menentang bekas ketua mereka, Mahathir Mohamad dengan sokongan dan doa dari penyokong-penyokong mereka. 

Namun mereka gagal untuk menggulingkan si licik lagi Machiavelli Mahathir, yang telah memerintah Malaysia selama 22 tahun.

Kadang-kala, mereka yang berkuasa apabila ingin menyingkirkan sesorang yang juga punyai kuasa, boleh meminta bantuan pihak ketiga. 

Contoh yang paling jelas adalah orang upahan menggunakan orang upahan lain termasuk pemimpin Umno seperti Perdana Menteri NajibRazak dan 'mangsa' liwat palsu SaifulBukhari yang 'membantu' antara satu sama lain untuk menjatuhkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan bantuan daripada ketua-ketua polis. 

Individu seperti UmmiHafilda, S Nallakaruppan dan Ezam Mohd Noor, yang selalunya muncul untuk menyebarkan ‘pekung’ Anwar pada masa yang strategik, juga boleh diletakkan dalam kategori yang sama seperti Saiful.

Terdapat juga mereka yang akhirnya mati! Ingatkah lagi pada TeohBeng Hock dan Ahmad Sarbani? Kedua-dua mereka ini terpaksa membayar dengan nyawa kerana enggan menurut apa yang dikehendaki panglima UMNO semasa siasatan rasuah tak lain tak bukan – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Sudah tentu, terdapat beberapa orang yang lebih bernasib baik seperti Raja Petra Kamaruddin, yang 'terlebih-mengkritik’ mereka yang berkuasa dan terpaksa lari ke England, di mana dia kini hidup dalam kemewahan. 

Artis Rap dan pelakon filem Namewee begitu berani mempermainkan Lagu Kebangsaan tetapi kemudiannya dipaksa untuk meminta maaf.

Maksud semua ini adalah orang kebanyakkan perlu membayar akibat yang mahal sekiranya mereka berani bercakap menentang pemimpin-pemimpin Umno-BN, terutamanya golongan elit Umno yang kejam, panglima yang tidak akan berhenti dari usaha menghapuskan mereka yang cuba untuk mendedahkan urusan haram mereka dan kontrak perniagaan yang mega.

Jadi bagaimana kita harus menganalisis kes Deepak Jaikishan dengan pendedahannya terhadap Najib, Perdana Menteri dan Presiden Umno yang bukan calang-calang orangnya! 

Siapa yang menjadikannya begitu berani? Apakah permainannya? Adakah ia sejenis peras ugut? Atau apakah ia hukuman atau 'ganjaran'?

Bukan semudah kes peras ugut mahupun balas dendam


Mari kita mulakan dengan menganggap dakwaan Deepak terhadap ketua Wanita Umno Selangor Raja Ropiaah sebagai urusniaga biasa yang telah menemui kegagalan . 

Tetapi, , kenapa dia tidak hanya menyelesaikan masalahnya di mahkamah dan tanpa perlu menghebahkan skandal itu?

Mengapa Deepak menghebohkan dakwaan itu apabila perhimpunan agung UMNO sedang berlangsung dan kenapa dia seperti mahu berusaha untuk memastikan seluruh negara tahu tentang keluarga Najib yang mendapat wang yang banyak dengan membantu Ropiaah untuk mendapatkan kontrak Kementerian Pertahanan itu? 

Apakah faedah yang akan diperolehi oleh Deepak dengan mengheret Najib ke dalam persengketaannya dengan Ropiaah? Bukankah Deepak telah merumitkan lagi keadaan apabila membabitkan seorang yang berkuasa seperti penyandang jawatan Perdana Menteri semasa negara?


Banyak persoalan yang timbul di fikiran tetapi masih lagi tidak ketemu jawapan yang tepat. Kecuali jika Najib dan isterinya RosmahMansor merupakan sasaran utama Deepak pada mulanya. Jika benar, semua teka-teki akan terjawab dengan sempurna.

Konspirasi dalaman Umno untuk menjatuhkan Najib


Ini membawa kita kembali kepada siapa yang berada di belakang Deepak.
Dia hanyalah seorang peniaga permaidani yang pernah menjadi kawan akrab Rosmah Mansor. Siapalah Deepak untuk 'memeras ugut' Najib tanpa segan silu dan halangan? 

Deepak perlu berhati-hati dengan akibatnya. Bukan sahaja Beng Hock dan Ahmad Sarbani menjadi peringatan kepadanya, jangan lupa juga pada Altantuya! Ya, wanita jelita Mongolia yang telah ditembak dan diletupkan oleh bekas pengawal-pengawal peribadi Najib.

Bagi Najib pula, nampaknya dia amat terkejut. Jika Deepak telah memberi amaran terlebih dahulu, penyokong Najib mungkin akan cuba membayarnya untuk mengelakkan PM itu malu. Nampaknya, Najib tidak menjangkakan serangan hendap itu walaupun sekarang ada cakap-cakap dalam kem Najib bahawa RM160 juta wang dalam bentuk pinjaman ditawarkan bagi Deepak untuk 'menutup mulutnya'.

Mengapa Najib tidak bertindak untuk menangkap Deepak? Mengapa pemimpin-pemimpin Umno yang lain tidak mempertahankan presiden mereka dari tuduhan Deepak? Mengapa Deepak masih bebas dan berterusan membuat pendedahan?

Malah DAP telah membuat laporan polis terhadap Deepak kerana didakwa tidak bekerjasama memberi maklumat bahawa Najib telah terlibat dalam mendapatkan akuan berkanun untuk menerbalikkan akuan yang menceritakan pembunuhan Altantuya. Tetapi Umno dan BN hanya menutup mulut dan seolah-olah memekakkan telinga sahaja.

Ia kelihatan seperti Deepak BENAR-BENAR mempunyai sokongan yang kuat dibelakangnya terhadap 'pasangan pertama’, iaitu Najib dan Rosmah. Sekarang, bagaimana ini boleh berlaku?


Adakah Deepak didalangi Anwar dan PR?


Kita boleh menolak andaian bahawa Anwar dan Pakatan Rakyat disebalik kisah ini kerana blogger Umno, Papagomo telah menyiarkan klip video yang kononnya menunjukkan Deepak membuat perjanjian dengan seorang yang rapat dengan Anwar. Mengapa? 

Kerana Papagomo telah juga kehilang kredibiliti dan sedang berhadapan dengan beberapa saman. Reputasi Papagoma telah musnah. Malah partinya membuangnya kecuali mereka yang sepertinya juga -tidak puas hati.

Juga, Papagomo sebenarnya mewakili 'pembangkang' dalam Umno. Ini merupakan panglima-panglima dan puak yang mahu menendang Najib keluar dari jawatan tertinggi Umno secepat mungkin. 

Jadi, sambil menuding jari pada Anwar, apa yang Papagomo sebenarnya telah lakukan adalah memberitahu semua rakyat di Malaysia bahawa bukan Anwar dan PR yang berada di belakang Deepak. 

Oleh itu, dalang-dalang yang berada di belakang Deepak merupakan orang-orang Umno sendiri.

Untuk tahu siapa dalang disebalik Deepak dalam Umno, kita mesti bertanya soalan ini – siapakah yang akan mendapat manfaat paling besar dalam Umno jika Najib dilucutkan dari kuasa? 

Jelas sekali, orang itu mestilah seseorang yang mengintai jawatan PM untuk dirinya sendiri – orang yang sedang menunggu untuk menjadi PM. 

Orang yang paling memenuhi kriteria ini sekarang adalah MuhyiddinYassin. Ya, dia sedikit lembap dan tidaklah begitu kreatif untuk berimaginasi atau berbakat tetapi Najib masih sedikit ok darinya. 

Walaupun begitu, kita mesti ingat bahawa Muhyiddin tidak mempunyai pengikut yang ramai. Dia adalah 'penyendiri' dengan sokongan yang amat sedikit dari akar umbi.

Yang membawa kepada persoalan yang seterusnya. Siapakah yang memberi idea untuk menggunakan Deepak? Apakah tujuan sebenar orang ini atau orang yang tidak diketahui ini? 

Adakah mereka benar-benar menyokong Muhyiddin atau adalah mereka hanya mahu bersembunyi di belakangnya untuk menyerang Najib dan kemudian apabila kerja telah siap, mereka juga akan bertindak untuk ‘menjatuhkan’ Muhyiddin?

Penyokong Musa Hassan dahulu dalangnya sekarang?

Terus terang, nama Mahathir adalah yang pertama muncul diminda sebagai tangan hitam yang paling berkemungkinan menyokong Deepak. Walaupun hubungan secara langsung tidak boleh dibuktikan, rakyat Malaysia boleh membuat kesimpulan yang 'logik' disini.

Ia juga Nampak ketara apabila Mahathir - yang suka memberi pendapatnya dalam apa jua isu walaupun selalunya dengan tanpa diminta – dengan misterinya memilih untuk kekal senyap setelah Deepak membuat pendedahan. 

Lagipun, jika anda rasa hormat dan menyokong seseorang - seperti Mahathir yang menyatakan sokongan terhadap Najib – dia pasti akan sakit hati dan marah atas tuduhan Deepak.

Jika anda sayang akan UMNO, anda cuba mempertahankan UMNO dengan apa jua cara. Tetapi mengapa apabila pembabitan Najib dalam kes Ropiaah didedahkan di khalayak ramai, tiada siapa dalam Umno yang mahu mempertahankannya? 

Begitu juga dengan tuduhan Deepak yang melibatkan skandal Scorpene-Altantuya - tiada siapa kecuali ahli kumpulan Najib sendiri yang mempertahankannya. Pemimpin-pemimpin UMNO yang lainnya hanya mendiamkan diri.

Dan bukan hanya itu, Musa Hassan bekas KPN juga seperti turut membantu menambah garam ke luka Najib. Musa mengejutkan negara dengan mendedahkan bahawa Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein, yang merupakan sepupu Najib yang paling dipercayai, sering campur tangan dalam kerja-kerja polis.

Tidak dinafikan, terdapat usaha bersepadu untuk memusnahkan Najib oleh musuh-musuhnya dalam Umno. Dan logiknya, orang yang akan mendapat manfaat yang paling besar jika Najib dilucutkan dari kuasa sedang adalah Muhyiddin dan mereka yang menggunakan Muhyiddin untuk mencapai matlamat mereka sendiri.

Sharizat lebih mendapat simpati dari Najib


Mari kita lihat Musa Hassan. Dia paling setia pada Mahathir. Lagipun, Musa merupakan seorang yang telah memainkan peranan penting membantu Mahathir untuk menyingkir Anwar dan untuk itu, Musa telah diberi ganjaran dan dilantik ke jawatan KPN apabila Mahathir menjadikan dirinya Menteri Dalam Negeri. 

Bukankah ia agak ganjil apabila Musa tidak pernah menuduh Mahathir menyalahgunakan kuasa tetapi dia telah menyerang Hishamuddin?

Berbekalkan 22 tahun pemerintahan, tidak mustahil jika Mahathir tidak pernah campur tangan dalam kerja polis. Atau bukankah ia lebih berkemungkinan bahawa bagi setiap kes apabila Hisham menyalahgunakan kuasanya, Mahathir akan pernah melakukan perkara yang sama sekurang-kurangnya 3 kali lebih kerap.

Jika mereka dapat melakukan apa yang mereka suka, ramai pemimpin UMNO akan mengatakan bahawa mereka tidak mahu Najib terus menjadi presiden mereka kerana Najib membawa terlalu banyak 'bagasi' dan skandal.

Terlalu banyak usaha, sumber dan masa yang telah dibelanjakan untuk membuat Najib kelihatan baik, tetapi semua usaha itu telah masuk ke dalam longkang. 

Statistik terkini terhadap popularitinya telah hanya menunjukkan peningkatan sebanyak 1 peratus, yang merupakan satu penghinaan besar terhadap UMNO dan satu petanda bahawa kehancuran boleh dijangkakan dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Serangan hendap ala gerila Dr M terhadap Najib dan Rosmah


Berbeza dengan "Dasar Pandang ke Timur" Mahathir dan "Wawasan 2020" yang kekal popular dan diingati oleh ahli-ahli UMNO dan para pemimpinnya, program Transformasi Najib dan slogan 1Malaysia hanya diwar-warkan oleh para menterinya, IdrisJala dan RaisYatim antaranya. 

Malah Shahrizat Jalil, ketua Wanita yang kehilangan jawatan kabinetnya akibat skandal NFC bernilai RM250 juta, telah mendapat simpati yang lebih daripada ahli-ahli dan pemimpin Umno berbanding Najib pada kemuncak krisisnya dahulu.

Malah, mengapa Mahathir, Muhyiddin, Ku Li, Nazri Aziz, Isa Samad, RaisYatim, Ali Rustam, Khairy Jamaluddin seperti buat tak tahu dan tidak berkata apa-apa untuk mempertahankan Najib daripada tuduhan Deepak? 

Bagaimana mereka boleh mengaku setia kepada PM tetapi menutup mata apabila dia dituduh membunuh dan merampas kekayaan negara.

Mungkin petunjuknya terletak pada kata-kata Mahathir yang sering diulang-ulangnya iaitu ketidakserasiannya dengan Badawi menyumbang kepada UMNO yang berpecah belah, dan membawa kepada prestasi hambar BN dalam pilihan raya umum ke-12. Untuk pilihan raya umum ke-13, Mahathir yakin dia tidak akan mengulangi kesilapan yang sama. 

Walaupun lelaki berusia 87 tahun ini menyatakan secara terbuka sokongan kepada Najib dan mendakwa bahawa Najib telah melakukan yang terbaik, Mahathir sebenarnya sudah melancarkan serangan hendap ala 'gerila' terhadap pasangan pertama itu.

DIBUANG UMNO: Sendirian dan tergolek ke bawah tanpa brek


Oleh itu, adalah jelas bahawa Najib dan Rosmah keseorangan dalam UMNO seperti yang kita boleh andaikan daripada pendedahan Deepak dan Musa. Dan oleh kerana begitu terkejut, tidak hairanlah Najib dan Rosmah tidak tahu bagaimana untuk bertindak balas hanya berdiam diri sahaja daripada cuba membersihkan nama mereka.

Deepak dan Musa - dua lelaki dengan watak yang sangat berbeza - menunjukkan sekali lagi bahawa Najib dan Rosmah kini buangan dalam UMNO. Pasangan itu adalah seperti kanser di dalam parti kerana ia cuba keras untuk mengekalkan cengkaman pada kerajaan persekutuan. 

Untuk UMNO, kanser Najib-Rosmah telah disahkan sebagai petanda buruk. Ia telah menjadi terlalu besar dan boleh mencekik UMNO sehingga mati.

Satu-satunya penyelesaian adalah untuk membuang tumor itu tidak lama lagi. Pembedahan utama yang diperlukan sudah diberikan. 

Persoalan sebenar ialah BILAKAH UMNO akan mengeluarkan Najib dan Rosmah di bilik pembedahan?


Malaysia Chronicle

PENGAKHIRAN BAGI NAJIB & ROSMAH: PKR bakal halang perjanjian LTAT-Deepak-Ropiaah- Written by Wong Choon Mei, Alaa Soleiman, Malaysia Chronicle

 


Bersumpah akan mempertahankan dana pencen Angkatan Tentera dari disalahgunakan oleh pemimpin kerajaan tertinggi, Ketua Pembangkang dari parti PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menuntut pentadbiran Najib memberi maklumat sebenar tentang perjanjian yang melibatkan RM160 juta bagi pembelian semula tanah milik Kementerian Pertahanan.

Respon dari PKR ini berikutan berita semalam yang mengkhabarkan bahawa unit dana pencen angkatan tentera 'Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) telah bersetuju untuk membayar RM30 juta kepada ahli perniagaan kontroversi Deepak Jaikishan dan RM130 juta pula kepada firma Raja Ropiaah, Ketua Wanita Umno Selangor.

Pengarah strategik PKR Rafizi Ramli menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pertahanan Zahid Hamidi di atas "penyalahgunaan kuasa yang melampau", dalam menerangkan tentang transaksi terbaru yang melibatkan 223 hektar tanah Kementerian Pertahanan di Bukit Raja, Selangor sebagai "rasuah secara terang-terangan" dan " kes pelaburan paling buruk pernah berlaku".

"Ia jelas menunjukkan bahawa RM30 juta untuk memperoleh 80% Astacanggih (firma Deepak) dan yang RM130 juta yang dibayar (kepada firma Raja Ropiaah) untuk tanah yang hampir tidak wujud adalah penyalahgunaan kuasa secara terang-terangan oleh Zahid Hamidi. Saya berani mengatakan bahawa Najib telah menugaskan Zahid untuk mengendalikan hal ini dengan apa jua cara sekalipun, "Rafizi, juruaudit terlatih di UK, memberitahu sidang akhbar pada hari Sabtu.

"Anda boleh meminta mana-mana penganalisis pelaburan atau penyelidik dan mereka akan memberitahu anda ini bukanlah satu pelaburan yang baik. Jadi mengapakah kerajaan persekutuan melibatkan diri dalam pelaburan yang buruk itu? Kita hanya boleh menyimpulkan bahawa ini bertujuan untuk mendiamkan Deepak dan untuk menutup keseluruhan isu itu. "

Rasuah yang nyata?


Deepak, yang pernah menjadi teman akrab isteri Najib, Rosmah Mansor, pada tahun 2007 telah membeli tanah dari firma Raja Ropiaah Awan Megah dengan nilai kira-kira RM120 juta iaitu RM12 meter persegi. Tetapi perjanjian telah terbengkalai dan surat tanah masih belum diserahkan kepada unit Astacanggih, Cebur Megah.

Ini menyebabkan di Deepak menyaman Ropiaah dan Awan Megah bagi tindakan spesifik dan "niat jenayah", kementerian Pertahanan serta para pegawai di Pejabat Tanah dan Galian kerana tidak melepaskan surat tanah kepada Cebur Megah.

Deepak juga menuduh Ropiaah 'mencuri' dan menjual salah satu daripada tiga bidang tanah kepada GuppyUnip Sdn Bhd dengan nilai RM16 meter persegi. Kes itu telag didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur lewat bulan lepas, dengan Deepak sendiri menjadi saksi. Ia telah ditangguhkan hingga Disember 14 tetapi tertunda sementara menunggu penyelesaian yang dikatakan Deepak ‘dipaksa’ keatas dirinya dan juga firmanya.

"Ia memang benar bahawa pemegang saham dan diri saya sendiri telah menjual saham kami di Asta Canggih untuk RM30 juta yang merupakan harga kos sebenar kami iaitu RM13 juta untuk Raja Ropiaah, RM8 juta dalam bentuk sumbangan politik, RM7 juta bagi kos kewangan dan RM2 juta untuk prosedur undang-undang dan kos lain. Ini adalah keputusan yang telah dipaksa ke atas kami, "kata Deepak dalam mesej teks pada hari Jumaat.

Menyelamatkan tabung pesara Angkatan Tentera


Pertelingkahan memuncak apabila Deepak mendakwa ada 'tangan gelap' yang dibelakang perjanjian itu. Dia menuduh keluarga Najib menerima berjuta-juta ringgit sebagai balasan kepada Najib yang telah menyalahgunakan kuasanya dalam meluluskan perjanjian itu.

Najib, yang pada ketika itu memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan, masih tidak memberi apa-apa jawapan kepada siri dakwaan berat yang telah dileparkan walaupun rakyat semakin jijik dan mendapat tekanan dari parti politiknya sendiri.

Rafizi menyelar Najib kerana enggan memberi penjelasan kepada orang ramai dan menuduh dia bersubahat dengan Zahid kerana memasuki perjanjian yang meragukan yang telah meletakkan dana pencen Kementerian Pertahanan dalam kedudukan yang terancam.
"Hakikat bahawa Najib tetap berdiam diri membuktikan bahawa transaksi itu telah dibuat untuk mendiamkan Deepak. 

Ini juga menunjukkan pasti terdapat kebenaran dalam tuduhan Deepak. Pendedahan Deepak pasti telah menakutkan Najib sehinggakan dia mengarahkan Boustead untuk masuk ke dalam perjanjian ini," kata Rafizi.

"Sungguh licik bagi Perdana Menteri untuk mengarahkan Menteri Pertahanan terlibat dalam perjanjian itu. Di negara-negara lain, siasatan awam akan dilakukan. PKR akan sedaya-upaya cuba untuk menggagalkan perjanjian itu kerana ia melibatkan LTAT, dana pencen kementerian Pertahanan. Ia tidak masuk akal. kita sudah rugi RM250 juta dari seorang menteri dan sekarang kita akan kehilangan RM160 juta wang pesara oleh seorang lagi menteri lain. "

Rafizi merujuk kepada kemelut pembiakan lembu NFC yang bernilai RM250 juta yang melibatkan keluarga Ketua Wanita Umno Shahrizat Jalil.

Najib perlu memenangi semula Selangor untuk mementerai perjanjian


Dalam kes Deepak-Ropiaah, Rafizi menegaskan bahawa tanah itu tidak pernah bertukar tangan dari awal lagi dan seterusnya mempersoalkan kenapa Kementerian Pertahanan membeli balik tanahnya sendiri.

"PKR akan menulis surat kepada kerajaan negeri Selangor untuk menghentikan perjanjian ini. Sebelum ini kita diam sahaja kerana kita tidak pasti sama ada dakwaan Deepak adalah benar. Tetapi kini, 
selepas pengumuman Boustand kepada Bursa, semuanya sudah terjawab. Pada perhimpunan Umno baru-baru ini, Zahid berkata dia akan meneliti perkara itu dan mencari jalan untuk menyelesaikannya. Selepas itu, terus senyap. Kami fikir ia adalah tindakan biasa Najib yang sering enggan memberi jawapan kepada rakyat. Kemudian Boustead membuat pengumuman mereka semalam, "kata Rafizi.

"Ini jelas menunjukkan perjanjian dilakukan untuk menutup mulut Deepak. Tetapi ia langsung tidak menyelesaikan masalah. Bagaimana Zahid boleh fikir yang perjanjian akan berjaya? 

Ia akan memerlukan lampu hijau daripada kerajaan negeri kerana tanah itu berada di Selangor . Deepak menegaskan bahawa dia tidak akan berdiam diri kerana dia hanya mendapat RM30 juta walhal Ropiaah menerima RM130 juta. Kami telah memberitahu Deepak, jangan bimbang. 

Kami akan berusaha sedaya upaya untuk menggagalkan perjanjian ini kerana ia melibatkan wang pesara. Malah, kita perlu berterima kasih kepada Tan Sri Khalid kerana berkeras untuk memeriksa semua butiran dan tidak membenarkan transaksi berlaku. "

Rafizi bersetuju hak milik tanah mungkin akan bertukar tangan sekarang jika bukan kerana pembangkang berjaya menguasai Selangor selepas pilihan raya umum 2008. Menurut Rafizi, jika Najib mahu perjanjian berjalan lancar, satu-satunya cara adalah jika "dia berjaya menawan Selangor kembali".

Negeri ini merupakan yang terkaya dan mempunyai ekonomi yang terbesar berbanding 13 negeri di Malaysia. Najib sebelum ini telah berikrar untuk mengambil kembali Selangor "dengan apa jua cara." Negeri ini kini diketuai oleh Ketua Menteri PKR Khalid Ibrahim.

Unit Mindef membayar RM160 juta bagi tanah yang masih dimilikinya


Dalam satu kenyataan kepada bursa saham, Boustead Holdings 
Bhd, sebuah unit LTAT, mengumumkan bahawa unit milik penuh Bakti Wira Sdn Bhd telah memperolehi kepentingan 80 peratus di Astacanggih Sdn Bhd dengan nilai RM30 juta.

Pembangunan Bakti Wira dan Astacanggih juga telah menandatangani perjanjian dengan Awan Megah terlebih dahulu pada hari Jumaat untuk memperoleh 80.94 hektar tanah pegangan bebas di Klang, Selangor dengan harga RM130 juta. Menyifatkan perjanjian itu sebagai satu peluang untuk menambah hak tanahnya, Boustead berkata pembelian saham dan pemerolehan tanah itu akan dibiayai menerusi pinjaman bank dan dana yang dijana dari dalam.

"Selain itu, tanah itu juga bersebelahan dengan 283.28 hektar tanah yang dibangunkan oleh Jendela Hikmat Sdn Bhd, sebuah syarikat dimana kumpulan itu serta Lembaga Tabung Angkatan Tentera bersama-sama memegang 60 peratus dalam kepentingan ekuiti. Permintaan untuk tanah perindustrian di lokasi ini telah menunujukkan aliran menaik setelah siapnya pembinaan loji penyimpanan dan ujian terbaru UMW di Bukit Raja, Klang, "kata Boustead.

Rafizi berserta wakil Pakatan Selangor akan meneliti perjanjian secara halus pada hujung minggu ini dan merancang untuk mengadakan satu lagi sidang akhbar pada hari Isnin.

"Pada sebelah petang, kami bersama beberapa orang pesara akan ke pejabat Bakti Wira untuk memeriksa dokumen. Para pesara mempunyai hak untuk mengetahui apa yang berlaku kepada wang mereka," kata Rafizi.

The Black Rose


Setakat ini, Ropiaah belum memberi sebarang komen tentang transaksi itu. Sebelum ini, ketika dihubungi oleh Malaysia Chronicle, dia berkata akan merujuk dakwaan Deepak kepada peguamnya.

Dalam respons kepada pengumuman Boustead pada Jumaat, Deepak berikrar dia akan terus membuat pendedahan. Deepak bukan sahaja telah mendedahkan penglibatan Najib dalam urusan tanah Bukit Raja tetapi juga telah mendedahkan bahawa kedua-dua PM dan isterinya, Rosmah meminta beliau dirinya dalam "memudahkan" urusan penarikan balik akuan berkanun yang dibuat oleh penyiasat persendirian yang membabitkan Najib dalam kes rasuah dan pembunuhan Altantuya Shaariibuu-Scorpene.

Rupa-rupanya, lebih banyak skandal "panas" akan didedahkan untuk menguji Najib yang bagaikan jatuh ditimpa tangga, setelah menghadapi tekanan yang besar dari dalam partinya sendiri Umno untuk mengundur diri dan menyerahkan tampuk kepimpinan kepada Muhyiddin Yassin timbalannya sebelum mengadakan pilihan raya umum.

"Ironinya ialah Raja Ropiaah yang telah 'mencuri' tanah dari kami dibayar RM130 juta, jadi itulah kuasa sebenar, bukan?" Kata Deepak, yang dalam mesej teks kepada Malaysia Chronicle dan telah berjanji untuk meneruskan agenda mengeluarkan buku yang akan menceritakan segalanya mengenai Rosmah - 'The Black Rose'.


Malaysia Chronicle