"Dr
Mashitah, ustazah tersohor Umno tak habis-habis berdendam dengan Pas.
Ada sahaja yang tak kena di hatinya tentang Pas. Kali ini dan terkini
banyak kutukan Dr Mashitah kepada Pas termasuk Dewan Ulama Pas wujud
bagai tongkol kayu. Baca tulisan ustazah ini dari Sinar Harian
Ramai
orang, tidak terkecuali pemimpin dan penyokong Pas, tersentak apabila
Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad baru-baru ini mengecam parti itu
kerana terkeluar daripada perjuangan asal.
Pas mempraktikkan dasar politik yang menyimpang kerana mengadakan hubungan dengan DAP.
Semua
orang tahu betapa beliau sebelum ini penyokong kuat Pas – malah ahli
seumur hidup. Ketika masuk Pas, kepimpinan parti itu menjajakan nama
Shahnon kerana beliau Sasterawan Negara dan tokoh akademik yang
disegani.
Namun, perjalanan politik Shahnon dengan Pas tidak
bertahan. Dalam tempoh kurang 15 tahun, beliau sudah nampak bagaimana
Pas – termasuk golongan ulama dalam parti itu - gagal mempertahankan
Islam.
Malah, Dewan Ulamak Pas dianggapnya tidak lagi berpengaruh
seperti dahulu. Kini wujud bagai ‘tongkol kayu’. Ulama Pas termasuk
Mursyidul Am, kini dibayangi golongan profesional.
Beliau
dilaporkan berkata: “Dasar politik Pas sekarang ini langsung tak sama
dengan amalan politik Rasulullah SAW bersama sahabatnya ketika membentuk
Madinah. Malah, saya sendiri sebenarnya tidak berapa faham dengan
perjuangan dan latar belakang golongan profesional Pas...
Kesimpulannya,
Pas sekarang tidak sama macam dulu dan saya langsung tidak bersetuju
dengan dasar politik semasanya.” Bayangkan, jika cendekiawan sehebat dan
secerdik pun boleh tak faham dengan Pas, apa lagi rakyat biasa.
Pemerhati politik berpendapat Pas akan membayar harga yang mahal dalam pilihan raya umum nanti ekoran pakatannya dengan DAP.
Sehinggakan
misi menubuhkan Negara Islam pun bertukar kepada Negara Berkebajikan
dan slogan Membangun Bersama Islam dan Kepimpinan Ulama sekarang ditukar
kepada Pas For All.
Ada pihak memberi cadangan agar slogan Pas Ganti Umno elok ditukar saja kepada DAP Ganti Pas.
Perubahan
sikap Shahnon ini sangat signifikan, kerana pengalaman yang sama turut
dilalui Datuk Dr Hassan Ali dan tokoh Pas yang lain. Mereka kesal kerana
Pas berkompromi soal prinsip dan perjuangan.
Dalam banyak isu berkaitan agama dan akidah, DAP dan PKR lebih dominan. Pemimpin DAP kini lebih kuat bercakap isu agama.
Banyak
pelanggaran agama dan kemungkaran berlaku di Selangor dan Pulau Pinang,
tetapi Pas tidak boleh buat apa. Pas juga diam apabila Majlis Peguam
mempertikai kemutlakan keputusan Majlis Fatwa Kedah.
Andainya
Shahnon masuk Pas dulu kerana tertarik kepada kepimpinan ulama, maka
kekecewaan beliau hari ini adalah manifestasi penolakan beliau terhadap
kepimpinan Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Datuk Abdul Hadi Awang.
Pengalaman Shahnon dalam politik Pas boleh dibaca dalam buku Perjalananku Sejauh Ini: Satu Autobiografi (2006).
Menurut
Dr Sohaimi Abdul Aziz, Shahnon hanya menjadi wakil rakyat Pas cuma
sepenggal (1999-2003) kerana dia sedar bahawa dia menemui banyak
kepalsuan. “Menjadi wakil rakyat Pas...
Tidak membawa banyak erti
kepada kehidupannya,” begitulah pandangannya ketika menjadi panelis di
Seminar Pemikiran Shahnon Ahmad yang berlangsung di Dewan Bahasa dan
Pustaka, Kuala Lumpur pada 13-14 Mei 2007. (Shahnon bertanding dan
menang di kawasan Parlimen Sik dalam pilihan raya umum 1999 dengan
majoriti 478 undi mengalahkan Allahyarham Tan Sri Abdul Hamid Othman).
Satu
faktor yang mendorong kejayaan Shahnon dalam pilihan raya itu ialah
buku satira politik cukup kontroversi, Shit (1999), yang dilaporkan
terjual sehingga 130,000 naskhah.
Ironinya, Lim Kit Siang ketika
itu mencadangkan Shahnon didakwa ke mahkamah kerana karya tersebut.
Manakala Kementerian Dalam Negeri berpendirian tidak mengharamkannya
atas dasar “pendemokrasian bahan-bahan bacaan.”
Namun, peminat
sastera dan pelajar tentunya lebih mengingati Shahnon (adakala
menggunakan nama pena Juwahir dan Tutang) kerana karya hebat seperti
Rentong (1965), Ranjau Sepanjang Jalan (1966), Menteri (1967), Perdana
(1969), Srengenge (1973), dan Al- Shiqaq 1 (1985) serta banyak lagi
antalogi dan cerpen.
Shahnon kini berusia 80 tahun dan uzur.
Beliau mengidap sejenis penyakit antibodi yang menyerang segala otot dan
tenaga di seluruh badan sehingga daya tahan dan daya rasa menjadi lemah
longlai tidak bermaya hingga menyebabkan sukar untuk bernafas,
bercakap, menelan, mengunyah atau meludah.
Saya mencadangkan
pembaca membeli buku Kembara Seorang Hamba (Karya Bestari, Shah Alam,
2010). Ada satu perenggan di halaman 8, mungkin ditujukan kepada Pas:
“Diri ini sudah lanjut usia... Tiada lagi yang sudi mengalualukannya
kerana ketuaan yang dialami.
Tiada gunanya lagi walau secalit dan kini hanya menunggu hakisan dan keluputan untuk dipindahkan ke alam lain.”
www.EkEleh.com "
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.