Sunday, July 4, 2010

BETUL KE ANWAR PENYEBAB UTAMA PERPECAHAN ORANG MELAYU ?

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan beberapa tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak akhir-akhir ini merupakan suatu pengkhianatan kepada bangsa kerana ia telah menyebabkan perpecahan di kalangan orang-orang Melayu.

Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno berkata, orang Melayu perlu sedar tentang tindakan ketua umum PKR itu kerana bukti mengenainya adalah amat jelas.


"Buktinya (tindakan Anwar) adalah amat jelas. Rakyat perlu sedar tentang sikap berdolak-dalik dan pembohongan yang dilakukan oleh beliau, yang telah menyebabkan perpecahan dan keretakan di kalangan orang Melayu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Batu Pahat.


Akhbar
Washington Post melaporkan, dalam lawatannya ke Amerika Syarikat, Anwar bertemu dan meminta maaf dari rakan-rakannya di negara itu dan menyesal menggunakan istilah seperti 'pencerobohan Zionis '. Muhyiddin berkata, bukti mengenai hubungan baik Anwar dengan pemimpin Zionis dan Yahudi di Amerika Syarikat juga adalah jelas untuk dinilai oleh rakyat dan orang Melayu.

Sementara itu, mengulas mengenai pertemuan di antara Datuk Zaid Ibrahim dan Raja Petra Kamaruddin di London baru-baru ini, Muhyiddin berkata, ia menunjukkan hubungan yang jelas di antara PKR dengan penulis portal berita "Malaysian Today" yang sedang diburu oleh polis.
Sebelum itu, dalam ucapan perasmiannya, Muhyiddin mengingatkan anggota Umno bahawa mereka mempunyai tempoh tidak lebih daripada dua tahun untuk melakukan perubahan dan persedian bagi menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

"Perubahan atau transformasi perlu dilakukan dengan cepat kerana kita tidak mempunyai masa yang mencukupi," katanya sambil menambah bahawa anggota Umno perlu bergerak dengan segera dalam melaksanakan perubahan yang dituntut.
Timbalan Presiden Umno itu juga berkata, anggota Umno perlu melakukan perubahan kerana lanskap serta senario politik negara pada ketika ini telah jauh berubah hasil daripada keputusan pilihan raya umum ke-12 pada 2008.

Katanya, perubahan itu perlu dilaksanakan untuk memulihkan perpaduan di kalangan orang Melayu yang berpecah kepada tiga golongan dan memastikan mereka kembali menyokong Umno serta perjuangannya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.